Lima Kanak-Kanak Terselamat Dalam Kemalangan
Lima kanak-kanak terselamat dalam kemalangan
KUALA LUMPUR: Lima kanak-kanak terselamat, manakala ibu mereka maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, menghala ke Kuala Lumpur, berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh, pada 6.21 pagi tadi.
Siti Radhiyah Ariffin, 38 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta yang dipandu suaminya, merempuh belakang sebuah lori.
Difahamkan, wanita yang baru menyambut hari lahir semalam, meninggalkan lima anak termasuk dua kembar, yang turut berada dalam kenderaan itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, berkata mangsa tersepit dalam kenderaan yang dipandu suaminya yang berusia 50 tahun, manakala lima lagi anaknya terselamat.
"Suami mangsa dan anak perempuan mereka berusia 11 tahun cedera parah. Empat lagi anak mereka, termasuk bayi kembar pula dilaporkan cedera.
"Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya.
Norazam berkata, Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.21 pagi dan seramai lapan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke tempat kejadian.
Posting Komentar untuk "Lima Kanak-Kanak Terselamat Dalam Kemalangan"